KAMPUNG BATU 13 JALAN CHERAS

Sejarah pembukaan kampung batu 13 jalan cheras , kajang adalah bermula daripada penghijrahan manusia dari Negara Indonesia ke Tanah Melayu dimana mereka ini terdiri daripada orang melayu suku Bugis, Jawa, Mandaling, Minangkabau dan Batak akibat daripada desakan hidup disebabkan oleh peperangan dan penjajahan Belanda di Nusantara.

Manakala beberapa pelabuhan kecil pada masa itu telah menjadi pangkalan utama pendaratan mereka ke sini. Sebaik sampai sahaja di Tanah Melayu maka mereka berpecah dan mengikut suku dan kelompok suku kaum mereka lalu memulakan penempatan baru di serata Semenanjung Tanah Melayu. Sebagai contoh Orang Bugis memulakan penempatan di pinggiran pantai , Orang Jawa membuat penempatan di pendalaman Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sabak Bernam sementara Orang Minangkanau dan Mandaling telah mudik ke Hulu mengikut aliran Sungai Langat dan Sungai Selangor lalu membuat penempatan di Kajang dan dari situ mereka berpecah dan ada yang menetap ke Jenderam, Beranang dan Hulu Langat lalu meneroka hutan belukar dan paya untuk membuka penempatan baru.

Disekitar Kajang, Orang Minangkabau dan Mandaling bergotong royong membersihkan kawasan hutan dan belukar untuk dijadikan penempatan kekal yang lebih teratur dan selamat lalu melantik seorang ketua dikalangan mereka untuk mengelapai dalam semua urusan kehidupan termasuk kebudayaan dan keagamaan. Ketika zaman pemerintahan British, Kampung Batu 13 Jalan Cheras tidak ketinggalan mendapat kemudahan pengangkutan yang menghubungkan kampung-kampung di Daerah Hulu Langat ini ke Pekan Kajang khususnya dari Kuala Lumpur. Setelah merdeka , kampong ini semakin berkembang dengan jumlah penduduk yang kian bertambah.